Wednesday 17 July 2013

Mendidik hati dengan Solat.

Bismillahirahmanirahim..

"Masih awal lagi, baru pukul 1 pagi"gumam Afifah bila Hawa menegurnya supaya tidur. Dia berdengus kasar, matanya tajam merenung laptopnya.

Hawa terdiam, bukan dia tidak kenal Afifah yang suka berfacebook, chatting, dan melayan cerita korea malam-malam sehingga habis. Namun dia memang terganggu tidurnya kerana sesekali Afifah gelak sakan depan laptop kesayangannya. Entah apa dibualkan bersama teman chattingnya. Mungkin juga kelucuan yang sekali sekala dalam cerita yang ditontonnya.

Hawa menarik nafas, istighfar menghiasi hati, sedikit senyuman terukir dibibirnya. Aku harus sabar, bisik hati kecil Hawa. Dia bingkas bangun untuk ke bilik air mengambil wudhu'. Terasa air wudhu' yang menyegarkan wajah dan hatinya di pagi buta penuh indah itu. Hawa menggigil kesejukkan, berjalan perlahan menuju ke bilik semula. Pintu dikuak perlahan, Hawa ingin menunaikan solat tahajjud. Telekung dicapai dibirai katil, sengaja dia meletakkan disitu agar jika dia tersedar daripada tidur di malam hari, matanya akan terus tangkas melihat telekung tersebut. Biarlah malam harinya dihiasi ibadah kepada Allah.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Ini situasi biasa yang di alami di zaman universiti, juga berlaku bagi sekawan yang tinggal di rumah yang sama. Situasi ini akan menyebabkan berlakunya perbalahan, memasam muka, salah faham, masalah mengantuk di waktu pagi dan sebagainya. Masalah mengantuk menjadi satu isu penting akibat kurang tidur. Namun, kita sebagai umatnya harus menteladani Rasulullah saw. Ketahuilah, Rasulullah s.a.w. tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah s.w.t. memberkati umat ini yang berpagi-pagi, seperti satu hadith yang berbunyi:

“Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi”

Untuk itu, para fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat subuh. Disebutkan ulama bahawa tidur selepas solat Subuh adalah makruh, dikecualikan dari kemakruhan ini adalah mereka yang berjaga malam uuntuk qiyam dan sebagainya.

Bagaimana cara untuk mengelakkan ketiduran selepas solat subuh? Tips untuk mengelakkan tidur adalah:

01.Solat Subuh
Jangan tinggal solat Subuh bagi yang boleh melaksanakannya. Dan lebih elok, sambung dengan bacaan Ma’thurat atau al-Quran.

02.Senaman
Buatlah senaman yang ringan dalam rumah, kalau rajin, berjoging di luar rumah. Jalan kaki juga dikira senaman.

03.Sembang
Rupanya borak-borak pun boleh hilangkan mengantuk. Selalu juga buat kalau ada sahabat yang turut tidak tidur lepas subuh. Tapi jangan sembang benda- benda yang melalaikan nanti pagi-pagi sudah kumpul dosa. Bagi suami isteri, ambil masa ini untuk bermusyawarah bagi berbincang permasalahan juga berkongsi kasih sayang melalui saling nasihat menasihati dan mengingati.

04.Mendengar tazkirah pagi.
Bagaimana lagi? Dengan mendengar tazkirah pagi. Sambil-sambil menyapu, hiasi halwa telinga dengan mendengar sesuatu yang indah untuk di dengarkan. Dapat juga ilmu yang baik.

05.Sarapan
Sediakan sarapan di awal pagi. Sarapan pagi itu penting untuk kesihatan. Ambillah berupa sarapan amalan Rasulullah saw.

Kesimpulannya, mesti istiqomah ya untuk melaksanakan tips ini dengan sempurna supaya betul-betul berkesan. Selamat beramal.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Melihat kelibat Hawa yang menunaikan solat tahajjud dengan penuh khusyuk dan tawadduk, terdetik perasaan malu dalam Afifah. Hawa tidak menjawab walau sepatah jawapan yang dia berikan tadi. Selama ini memang Hawa tidak pernah berkasar dengannya. Sikapnya yang suka ketawa dan menekan keyboard laptopnya dengan kasar dan kuat selalu mengganggu Hawa yang tengah tidur. Mata Afifah tidak beralih daripada memerhatikan pergerakan solat Hawa. Matanya beralih pula kepada dirinya, merenung kembali. Dia jarang menunaikan solat Tahajjud, seingatnya mungkin hanya tiga kali seumur hidupnya. Jika solat sunat juga jarang, bagaimana dengan solat fardhu yang wajib? Afifah menangis, solat fardhu dia selalu tinggalkan fardhunya. Selalu tertangguh. Kadang-kadang sahaja dia lakukannya. Mudahnya dia leka dengan kehidupan dunia.

Usai Hawa solat, Afifah terus meluru dan memeluk sahabatnya itu. Terbit sebuah kasih sayang yang terbina sekian lama. Sahabat sejati membawa kita ke jalan Allah. Indahnya islam bukan, :).


Terima Kasih sudi baca ya..


No comments:

Post a Comment